Saturday, August 29, 2009

Nota Pendek Presiden

Salam kemerdekaan ke-52

Perjuangan anak watan tanah ini menuntut kebebasan dari penjajah sudah berlangsung sebegitu lama. Ia mulanya dipelopori oleh masyarakat tradisional kemudian disambung oleh pejuang-pejuang yang lebih moden. Apabila masyarakat ketika itu sudah mula punyai semangat nasionalisme, ramai pejuang telah muncul untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.Mereka ini terdiri dari pelbagai latar belakang dan falsafah perjuangan. Namun, hal itu tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan perjuangan untuk bebas daripada penjajahan sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Hari ini, kita hanya gemar melihat versi rasmi sejarah kemerdekaan negara. Kita hanya membaca buku teks sekolah untuk memahami proses perjuangan menuntut kemerdekaan. Kita tidak meneroka buku-buku sejarah yang lain untuk maksud itu. Kita tidak sedar kita telah menerima suatu pensejarahan yang tidak cukup sifatnya. Ini memudahkan pemain-pemain politik mencucukkan jarum mereka. Hasilnya kita terpedaya, kita mudah takut kerana tidak faham sejarah, kita mudah marah kerana tidak faham sejarah, kita mudah berprasangka kerana tidak faham sejarah. Kita mudah membenci kerana kita tidak mengetahui hakikat yang berlaku. Akhirnya kita menjadi warganegara yang tidak cerdik.

Penulisan sejarah yang tidak menyeluruh berkenaan kemerdekaan negara kita amat ketara. Tokoh-tokoh aliran kiri diburukkan dengan sebegitu rancak. Idea dan hasrat mereka yang sebenar diputar belitkan. Imej mereka dihitamkan supaya masyarakat Malaysia yang hidup pada hari ini dibuai dengan versi yang ‘menyenangkan hati’. Ini suatu kebaculan akademik. Kita sedang membutakan mata generasi yang lebih muda dengan tulisan-tulisan propaganda murahan. Yang merugikan disembunyikan, yang memberi untung dijelmakan sehabis mungkin.

Oleh itu, golongan muda harus menerokai ilmu. Kita jangan ghairah untuk memahami sejarah kemerdekaan ini hanya dalam tempoh satu jam forum kemerdekaan negara berlangsung di musim merdeka. Penerokaan ini harus berlangsung setiap masa supaya kita menjadi warga yang celik dan rasional. Jangan kita ghairah memacakkan bendera negara, tetapi kita kosong dari segi pengisiannya. Ya, generasi muda ramai yang menjulang bendera negara dimusim merdeka ini, tetapi tidak ramai yang ‘berisi’.

Selamat Hari Kebangsaan Ke-52

No comments: